IPOH – Kerajaan negeri Perak menyalurkan bantuan segera sebanyak RM1,000 kepada setiap waris pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik di sini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan segera itu bagi membantu urusan awal, termasuk penginapan dan perbelanjaan lain.
“Kita amat sedih dan doakan semoga semua yang terkorban dirahmati Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Kita tahu bukan semua keluarga berada dalam keadaan senang. Bantuan ini diharap dapat meringankan beban mereka,” katanya pada sidang akhbar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Beliau berkata, setakat ini 13 jenazah telah dibawa ke HRPB untuk proses pengecaman, manakala dua lagi disahkan meninggal dunia di Hospital Gerik dan diuruskan di sana.
Menurut Saarani, pihak UPSI juga telah menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada waris serta menyelaraskan urusan penghantaran jenazah pulang ke kampung masing-masing termasuk menyediakan kereta jenazah dan wakil pengiring. – KOSMO! ONLINE