PETALING JAYA – “Adik-adik saya terpaksa tolak tawaran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kerana nak kerja dulu. Dia (adik) cakap kakak belajarlah dulu, kami tanggung kakak. Nanti kita gilir-gilir.”
Demikian luahan Nurrin Najwa Mohd. Azmi, 20, dalam nada sebak ketika ditemui Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Hospital Gerik, hari ini.
Nurrin Najwa merupakan antara mangsa yang tercedera dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, awal pagi tadi.
Menurut Asyraf Wajdi, Nurrin merupakan anak yatim dan kehilangan tempat bergantung apabila ayahnya meninggal dunia beberapa tahun lalu.
“Itupun hanya arwah hanya bekerja sebagai pomen di sebuah kedai baiki kereta. Ibunya pula sakit, sebelum itu ambil upah cuci rumah tetangga.
“Lebih menghibakan saya, mendengar kisah adik-adik kembarnya yang sanggup berkorban buat kakaknya untuk bekerja mencari nafkah hingga terpaksa menolak tawaran universiti UMK dan Unisza,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Nurrin memberitahu Asyraf Wajdi bahawa adik-adiknya pernah cuba memohon Mara, namun permohonan mereka ditolak kerana kesilapan menghantar borang.
“Luluh hati saya mendengar kisah seperti ini. Sebagai Pengerusi Mara, saya akan rasa amat berdosa jika kes seperti ini Mara tak bantu.
“Terus saya bagi nombor telefon peribadi saya untuk dihubungi agar anak-anak yang bijak ini dapat dibantu,” jelasnya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 pagi, seramai 15 mangsa terkorban dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa pelajar UPSI dan Perodua Alza berhampiran Tasik Banding.
Seramai 13 mangsa maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di hospital sementara 28 yang lain mengalami kecederaan termasuk pemandu dan kelindan bas berkenaan.
Difahamkan, ketika kejadian bas tersebut dalam perjalanan pulang ke kampus UPSI Tanjung Malim dari Jerteh, Terengganu. – KOSMO! ONLINE