GERIK – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan pasukan penyiasat teknikal bagi menyiasat insiden kemalangan maut melibatkan sebuah bas dengan Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di sini awal pagi tadi.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya akan berkolaborasi dengan pihak seperti Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Kita akan tubuhkan satu pasukan khas teknikal untuk membantu pegawai penyiasat saya dalam menjalankan siasatan dan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk kita dakwa pemandu tersebut ke mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengalami kecederaan ekoran kemalangan itu di Unit Kecemasan Hospital Gerik di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan bas dinaiki 42 pelajar UPSI berkenaan terlibat kemalangan dengan sebuah Perodua Alza sehingga mengorbankan 15 pelajar institusi pengajian tinggi tersebut.
Katanya, turut mengganggotai pasukan petugas khas berkenaan ialah Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Jabatan Kimia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya negeri dan Pasukan Gerakan Udara (PGU).
Pada masa sama, Mohd. Yusri meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut untuk tampil dan berkongsi informasi berkenaan dengan pasukan siasatannya.
“Jangan hanya viral di media massa dan sebagainya. Ini akan menambah lagi persepsi atau kekeliruan di dalam siasatan. Kita tidak mahu mengganggu siasatan yang dijalankan oleh pegawai penyiasat JSPT itu sendiri.
“Jadi kita mahu semuanya berjalan dengan baik serta lancar dan kertas siasatan dapat kita lengkapkan dengan segera untuk kita bawa ke mahkamah,” katanya. – KOSMO! ONLINE