IPOH – Kakak ipar salah seorang mangsa kemalangan bas ekspres yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi mendakwa kenderaan itu tidak menggunakan laluan biasa melalui Gua Musang, sebaliknya mengambil jalan alternatif menerusi Gerik dipercayai bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Najibah Zahir, 30, yang merupakan kakak ipar mangsa, Lily Suzana Mat Yaakob, 23, berkata, beliau menerima berita mengenai insiden tragis itu melalui mesej dalam kumpulan WhatsApp keluarga sebelum segera bergegas dari Pulau Pinang ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.
“Sepatutnya adik ipar saya naik bas malam ini, tapi dia tukar tiket lebih awal sebab ada kelas.
“Biasanya bas ikut laluan Gua Musang, tapi kali ini pemandu guna laluan Gerik, mungkin untuk elak jalan sesak,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Kecemasan HRPB.
Menurutnya, sebaik melihat gambar bas yang terbalik dalam kemalangan itu, perasaan panik menyelubungi dirinya kerana menyedari adik iparnya menaiki bas tersebut.
Tambahnya, ahli keluarga lain masih dalam perjalanan dari Jerteh ke Ipoh ketika beliau tiba di hospital.
“Alhamdulillah, doktor maklumkan keadaan adik ipar saya stabil dan tiada pendarahan dalam kepala, tapi dia masih belum sedarkan diri. Sekarang sedang jalani imbasan lanjut,” katanya.
Difahamkan, seorang lagi rakan mangsa berada dalam keadaan lebih kritikal dan kini dirawat di Zon Merah hospital berkenaan. – KOSMO! ONLINE