PETALING JAYA – Siasatan awal polis mendapati bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan hingga mengorbankan 15 pelajar UPSI malam tadi telah melanggar belakang sebuah kereta jenis Perodua Alza sebelum hilang kawalan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, keadaan lokasi kejadian di Lebuh Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik itu agak berliku, menurun dan gelap yang mengundang pelbagai kemungkinan punca kemalangan.
Katanya, buat masa ini polis menjalankan siasatan menjurus sama ada melibatkan kecuaian manusia atau masalah teknikal.
“Terdapat 42 penumpang bersama seorang pemandu dan kelindan di dalam bas itu. Kesemua pelajar itu berasal dari Pantai Timur berusia antara 21 hingga 23 tahun.
“Bas yang didaftarkan di Kedah itu bergerak dari Jerteh, Terengganu pada pukul 9 malam tadi. Bedah siasat dijangka akan mengambil masa lama untuk selesai kerana melibatkan jumlah kematian yang ramai,” katanya pada sidang akhbar di Ipoh sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE