GERIK – “Saya keluar dari lubang kecil selepas bas terbalik. Keadaan gelap menyebabkan saya tak dapat bantu rakan-rakan walaupun mendengar jeritan mereka.”
Itu luahan Nur Irdina Huri, 22, iaitu salah seorang mangsa yang cedera dalam nahas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) awal pagi tadi.
Nahas itu melibatkan bas dinaiki pelajar UPSI dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang berada dalam laluan sama bergerak dari Jeli, Kelantan menuju ke Gerik.
Katanya, sewaktu kejadian dia tidak tidur dan mendakwa bas dinaiki dia dan rakan-rakannya itu berbau hangit selain bergerak laju di jalan raya berkenaan.
“Bas terhuyung-hayang semasa menuruni jalan berbukit di lokasi kejadian. Kejadian itu berlaku sangat cepat, tiba-tiba bas sudah terbalik.
“Saya keluar dari bas ikut lubang kecil yang ada tetapi tidak dapat bantu rakan-rakan yang lain walaupun mereka meminta tolong sebab keadaan di lokasi sangat gelap,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Media hari ini melaporkan seramai 15 individu dilaporkan meninggal dunia ekoran kejadian tersebut.
Sementara itu, Nur Irdina yang merupakan pelajar jurusan Pendidikan Awal Kanak-kanak di UPSI berkata dia mengalami kecederaan di pinggang selain kakinya turut terseliuh. – KOSMO! ONLINE