fbpx

Nahas UPSI: 15 ambulans bantu bawa pulang jenazah mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian sukarelawan yang membantu membawa pulang jenazah pelajar UPSI berkumpul berhampiran Masjid Hadhari di Jerteh sebelum bergerak ke Gerik hari ini.

PASIR PUTEH – Sebanyak 15 buah ambulans milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Pasir Puteh dan Besut, Terengganu digerakkan ke Perak bagi membantu membawa pulang jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pagi tadi.

Pengasas Badan Amal Tengku Harith Team Ventures (THTV), Tengku Harith Tengku Aziz berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Team Amal Besut, Ummah Care dan NGO Utara Semenanjung bagi melancarkan pengurusan jenazah.

“THTV menyediakan tiga buah ambulans, 11 buah daripada Team Amal Besut dan sebuah lagi ambulans diuruskan oleh Ummah Care sebuah. Kami semua berkumpul di Masjid Hadhari, Jerteh sebelum bergerak secara konvoi ke Gerik dan Ipoh bagi menyelaraskan pengurusan jenazah bersama NGO dari negeri utara.

“Urusan membawa jenazah ke kampung halaman mangsa akan ditentukan berdasarkan koordinasi bersama pihak NGO Utara Semenanjung dan permintaan daripada ahli keluarga mangsa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Harith merayu pengguna jalan raya memberikan kerjasama dengan membuka laluan kepada konvoi tersebut dalam memudahkan urusan pengurusan jenazah.

“Kami turut membawa kelengkapan lengkap penyempurnaan jenazah seperti kain kafan dan keperluan lain bagi mempercepatkan urusan pengebumian sebaik selesai proses bedah siasat,” ujarnya.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, seramai 15 individu dilaporkan maut dalam nahas melibatkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna di Lebuh Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Siasatan awal polis mendapati bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan hingga mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris merempuh belakang sebuah kereta jenis Perodua Alza sebelum hilang kawalan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, keadaan lokasi kejadian di Lebuh Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik itu agak berliku, menurun dan gelap yang mengundang pelbagai kemungkinan punca kemalangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI