BARCELONA – Pengendali England, Thomas Tuchel mengakui tidak gembira dengan prestasi yang dipamerkan oleh pasukannya selepas hanya menang 1-0 ke atas Andorra dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium RCDE itu, penyerang sensasi The Three Lions, Harry Kane meledak gol tunggal untuk menghadiahkan tiga mata sekali gus mengelak daripada diaibkan pasukan lawan yang menduduki ranking ke-173 dunia itu.
Kata Tuchel, apa yang dipamerkan oleh pasukannya berada di bawah tahap sebenar dan semua pemain perlu menggandakan usaha sekiranya mahu kekal berada dalam skuad utama selepas ini.
“Sudah tentu saya tidak gembira dengan permainan yang ditampilkan kerana jauh daripada jangkaan saya. Selepas 25 minit, kita tidak lagi beraksi dengan baik dengan pemain seperti tidak bertenaga.
“Namun, masih ada beberapa petanda positif seperti corak permainan yang ditampilkan oleh Noni Madueke sepanjang perlawanan agak baik dan wajar diberikan pujian,” kata Tuchel.
Sementara itu, Kane turut gembira dengan impak Madueke selepas melakukan hantaran tepat untuk membantunya meledak gol ke-450 dalam karier profesional di peringkat kelab dan antarabangsa.
“Saya rasa Madueke menjadi ancaman utama buat jentera serangan kami dan kita perlukan lebih ramai pemain yang memiliki mentaliti tersebut. Kita ada ramai pemain berbakat tetapi mereka perlu berani di atas padang,” katanya. – AGENSI