ALCANIZ – Marc Marquez terus membuktikan penguasaannya di Litar MotorLand Aragon apabila menjuarai Grand Prix (GP) Aragon semalam sekali gus mengukuhkan kedudukan pendahulu keseluruhan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.
Pelumba Ducati itu bermula dari petak utama dan tidak melepaskan kelebihan hingga ke garisan penamat untuk mencatat kemenangan ketujuh di litar kegemarannya.
Selain itu, dia juga muncul pelumba pertama dalam tempoh 10 tahun yang mendominasi kesemua sesi perlumbaan termasuk latihan, kelayakan dan pemanas badan.
“Hujung minggu yang luar biasa. Ketika perlumbaan, Alex (Marquez) dan Pecco (Francesco Bagnaia) sangat laju, tapi saya berjaya kawal jarak,” kata Marquez yang kini mendahului adiknya, Alex dengan kelebihan 32 mata di tangga teratas.
GP Aragon turut menyaksikan podium bersih buat Ducati apabila Alex di tempat kedua bersama Gresini Racing, manakala Bagnaia mengekori rapat di tempat ketiga selepas menewaskan Pedro Acosta.
Marquez yang sebelum ini memenangi perlumbaan di Aragon tahun lalu selepas kemarau 1,043 hari, sekali lagi mencuri tumpuan apabila mencatat rekod baharu litar untuk merebut petak pertama kali ke-99 dalam kariernya.
“Perlumbaan ini istimewa sebab dapat raikan bersama adik sendiri. Itu cara terbaik untuk meraikan dominasi penuh Ducati di laman sendiri,” tambah Marquez.
Sementara itu, Bagnaia yang kini berada di tempat ketiga keseluruhan, terus bergelut mengejar mata apabila ketinggalan 93 mata di belakang Marquez.
Dominasi Marquez di Aragon bukan sekadar melonjakkan statusnya sebagai calon juara dunia musim ini, malah menghantar isyarat jelas bahawa Ducati kini memiliki pelumba paling konsisten dan sukar digugat di setiap litar utama. – AGENSI