PETALING JAYA – Terharu, penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan meluahkan rasa sebak selepas membaca satu perkongsian menyentuh hati mengenai seorang peminat lelaki yang mendoakannya segera hamil sejurus selesai solat di Masjid Putrajaya.
Perkongsian itu dimuat naik seorang pengguna Threads yang menceritakan detik luar biasa dialaminya ketika berbuka dan menunaikan solat di masjid berkenaan, baru-baru ini.
“Semalam (Jumaat) saya berbuka di Masjid Putrajaya. Selepas solat, lelaki di sebelah saya berdoa perlahan-lahan untuk Elizabeth Tan.
“‘Kurniakanlah Elizabeth Tan anak, berikanlah kebahagiaan kepada dia’ itu antara bait doa dia. Doa itu panjang, ikhlas sungguh walaupun berlainan agama.
“Kami duduk rapat, jadi saya dengar jelas. Saya pun sebak. Awak sangat bertuah Elizabeth sebab ada orang doakan awak,” tulis individu terbabit.
Tidak lama kemudian, Elizabeth atau nama sebenarnya Elizabeth Tan Su Mei, 31, membalas hantaran tersebut dengan reaksi penuh emosi dan rasa syukur atas doa tidak disangka itu.
“Menangis saya baca. Terima kasih kerana beritahu saya.
“Saya sangat menghargainya. Ya, saya sangat bertuah dan rasa disayangi,” katanya menerusi ruangan komen.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya turut tersentuh dengan keikhlasan lelaki terbabit.
Ramai memuji semangat perpaduan dan kasih sesama manusia tanpa mengira latar agama.
Untuk rekod, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) itu mendirikan rumah tangga dengan Siew Jim pada 21 Mac 2021.
Pasangan itu belum dikurniakan zuriat, malah pelakon filem Abang Long Fadil 3 itu pernah melalui dua episod keguguran yang menyentuh hati peminat dan rakan industri. – KOSMO! ONLINE.