KUALA LUMPUR – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan membabitkan 80 jemaah haji yang terkandas daripada menunaikan haji di Tanah Suci, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman, berkata pihaknya sedang menyegerakan dan melengkapkan kertas siasatan.
“Terdapat empat penambahan laporan setakat hari ini. Jumlah laporan diterima adalah 10 dimana sembilan diklasifikasikan kepada ROR (Refer Other Report) kepada satu laporan polis induk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sulizme juga berkata tangkapan dibuat setakat ini adalah masih dua individu bergelar Datuk pada 3 Jun lalu.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan kira-kira 80 jemaah haji yang dijadualkan berlepas ke Tanah Suci semalam terpaksa membatalkan niat murni itu apabila mereka dilaporkan ditahan di KLIA.
Difahamkan, kumpulan jemaah itu ditahan ekoran menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
Susulan itu, dua individu bergelar Datuk terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita ditahan pada 3 Jun lalu kerana kerana disyaki menjadi dalang kepada kegiatan terbabit.
Kedua-dua suspek berusia 36 dan 39 tahun itu direman sehari sehingga 4 Jun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu. – KOSMO! ONLINE