PETALING JAYA – Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) menggesa kerajaan serta institusi pengajian tinggi melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem keselamatan pengangkutan pelajar.
Presidennya, Ahmad Fakhrul Anuar Ismail berkata, antara cadangan utama ialah mewajibkan pemasangan dan pemakaian tali pinggang keledar di semua tempat duduk bas melalui pindaan Akta Pengangkutan Jalan.
“Selain itu, audit keselamatan fizikal ke atas bas perlu dilakukan secara berkala, termasuk pemeriksaan ke atas sistem brek, tali pinggang dan struktur tempat duduk.
“(Turut dicadangkan) latihan pemandu, had laju dan etika pemanduan, pemantauan digital serta kempen kesedaran kepada penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MSOSH turut menekankan keperluan melaksanakan penilaian risiko bagi setiap laluan perjalanan pelajar universiti, mengelakkan perjalanan waktu malam di laluan berisiko seperti Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) serta menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi empat jam.
“Institusi seperti UTP (Universiti Teknologi Petronas) telah melaksanakan Pelan Pengurusan Perjalanan yang boleh dijadikan contoh.
“Bas yang digunakan juga mesti mempunyai rekod penyelenggaraan sah dan pemandu perlu memiliki lesen serta insurans kumpulan,” katanya.
Ahmad Fakhrul menegaskan, setiap tempat duduk dalam bas harus menjadi tempat yang selamat dan tragedi seperti di Gerik tidak boleh menjadi kebiasaan.
“Nyawa pelajar, pekerja dan penumpang tidak boleh dikompromi. Tragedi ini bukan kali pertama. Pencegahan perlu berlaku sebelum kehilangan nyawa berlaku lagi,” tegasnya.
Terdahulu, kemalangan yang berlaku di JRTB sekitar pukul 1.10 pagi itu melibatkan sebuah bas pelajar dan sebuah kenderaan pelbagai guna, meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris. – KOSMO! ONLINE