PETALING JAYA – Barangan keperluan asas dan bahan pembinaan dikekalkan tanpa dikenakan cukai jualan.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan mengambil langkah untuk tidak mengenakan cukai jualan ke atas barangan keperluan asas harian supaya tidak memberi kesan secara langsung kepada kos sara hidup majoriti rakyat.
“Bagi memastikan rakyat terbanyak tidak terkesan daripada semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kerajaan mengambil pendekatan yang bersasar untuk memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai.
“Selain itu, pelbagai kemudahan turut disediakan bagi mengurangkan kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, antara barangan yang dikekalkan tanpa cukai adalah ayam, lembu, kambing, ikan, udang, sotong, sayuran, buah-buahan tempatan, beras.
“Ia termasuk barli, oat, gandum, tepung, sardin tin, gula, garam, roti putih, pasta, bihun, mi, mi segera, susu, minyak masak, ubat, peranti perubatan, buku, jurnal, surat khabar dan makanan peliharaan.
“Turut dikekalkan iaitu bahan asas pembinaan seperti simen, batu dan pasir serta input sektor pertanian seperti baja, racun, jentera pertanian dan penternakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE