PETALING JAYA – “Saya bukan tak mahu cakap saya berbangsa Melayu tetapi hakikatnya memang bukan.”
Demikian respons pempengaruh media sosial Ameera Khan yang tetap mengaku dirinya berbangsa Melayu meski hakikatnya kedua ibu bapanya iaitu Noor Kartini dan Abdul Halim Khan adalah berdarah Arab serta Pakistan.
Menurut Ameera, 25, meski tidak mempunyai darah Melayu, dia tetap fasih bertutur dalam bahasa Melayu memandangkan sudah dibesarkan dalam budaya Melayu.
“Ibu saya berdarah Arab, bapa pula Pakistan, tiada darah Melayu.
“Namun, saya dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia. Saya boleh berbahasa Melayu termasuk bertutur dalam dialek Kelantan. Kalau tak boleh cakap bahasa Melayu, boleh tamparlah muka saya,” katanya dalam siaran langsung semalam.
Dia juga mengakui lebih selesa untuk mengakui dirinya sebagai orang Melayu bagi mengelakkan sebarang pertikaian dalam kalangan orang ramai.
“Saya ingat cerita tentang bagaimana ibu saya dibesarkan di Kelantan, tetapi lebih baik tanya dia sendiri.
“Kalau orang tanya sama ada saya orang Melayu atau tidak, saya iyakan sahaja. Jika cakap bukan Melayu nanti orang cakap tak sedar diri.
“Bukan tak mahu mengaku tetapi memang ibu bapa tiada darah Melayu. Cuma sekarang, saya akan jawab ya sahaja bila orang tanya soalan sebegitu. Kalau jawab tidak, orang akan pertikai,” ujarnya.
Dalam ruangan komen, terdapat netizen yang meminta tidak mengecam Ameera selain menegaskan dia tetap rakyat Malaysia meski bukan berdarah Melayu.
“Betullah apa yang dia jelaskan, kalau tiada darah Melayu nak buat macam mana? Dia tetap orang Malaysia juga.
“Sudah-sudahlah kecam dia. Apa yang dia jelaskan memang betul, dia mengaku atau tidak, nanti kalian tetap marah,” ujar netizen. – KOSMO! ONLINE