BALING – Seorang wanita warga emas yang mengalami masalah kemurungan dan skizofrenia dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Tembak B dalam mukim Teloi Kanan, Kuala Ketil, di sini sejak tiga hari lalu.
Laporan polis berhubung kehilangan wanita terbabit, Normah Wateh, 60, telah dibuat ahli keluarganya setelah usaha mencari mangsa gagal.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga emas berkenaan dilakukan bermula hari ini di kawasan berhampiran rumahnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, mereka menerima panggilan berhubung kes tersebut pada pukul 8.03 pagi tadi.
“Operasi SAR membabitkan 51 orang termasuk polis, bomba dari BBP Baling, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta bantuan penduduk kampung.
“Operasi pencarian dilakukan di lima sektor dan diperluaskan kira-kira lima kilometer radius dari rumah warga emas itu,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, operasi pencarian ketika ini dilakukan di kawasan berhampiran rumah wanita itu sehingga ke kawasan Kampung Kembai.
“Berdasarkan maklumat yang dilaporkan, wanita terbabit sudah beberapa kali hilang selepas keluar dari rumahnya sebelum ini,” ujarnya.
Jelasnya, operasi pencarian turut dilakukan Unit Anjing Pengesan (K-9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan usaha itu dibuat secara menyeluruh di kawasan darat termasuk kebun getah, kelapa sawit dan kelapa. – KOSMO! ONLINE