PETALING JAYA – Selepas beberapa hari menikmati cuti sempena Aidiladha, ribuan anak perantau mula bergerak pulang ke ibu negara sejak pagi tadi.
Tinjauan Kosmo! menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di laman web Lembaga Lebuhraya Malaysia mendapati, kebanyakan laluan di lebuh raya utama menuju ke Kuala Lumpur dipenuhi kenderaan.
Aliran trafik turut dilaporkan perlahan dari Plaza Tol Sungai Besi menuju ke pusat bandar ketika ini selain beberapa lokasi sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan melibatkan kedua-dua arah yang turut berdepan situasi sama.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati kesesakan berlaku di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak menuju ke ibu kota apabila berlaku kelewatan perjalanan berbanding biasa sebelum Plaza Tol Gombak.
Aliran trafik juga sesak di arah barat selepas Plaza Tol Karak ke Plaza Tol Bentong hingga Lentang, Pahang.
Menerusi perkongsian di Facebook LLM, syarikat itu mengingatkan pengguna lebuh raya supaya kekal fokus ketika memandu dan memberi isyarat signal sebelum menukar lorong. – KOSMO! ONLINE