HARAPAN Kelantan Darul Naim (KDN) FC untuk menandatangani khidmat bintang naturalisasi negara, Sergio Aguero tidak kesampaian selepas ‘disambar’ pasukan baharu, Brunei DPMM FC bagi kempen Liga Malaysia musim 2025/26.
Skuad ‘bangsawan’ dari kepulauan Borneo itu dalam satu kenyataan semalam mengesahkan kehadiran kapten ASEAN All-Stars tersebut yang akan termeterai dalam masa terdekat.
Selain itu, DPMM FC turut mengesahkan kehadiran pemain pertahanan Perak FC, Tommy Mawat Bada untuk mengukuhkan benteng belakang pasukan nanti.
“DPMM FC akan menandatangani pemain naturalisasi Malaysia, Aguero daripada Sri Pahang FC. Dia merupakan pemain kebangsaan dan meraih 17 kaps antarabangsa selain menjadi kapten ASEAN All-Stars yang menewaskan Manchester United baru-baru ini.
“Selain itu, kita juga akan menandatangani Tommy Mawat Bada daripada Perak FC di posisi pertahanan kiri selain benteng pasukan kebangsaan Filipina, Amani Aguinaldo,” menurut kenyataan tersebut.
Sebelum ini, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan kesediaan untuk membantu KDN FC, memberi bayangan salah seorang daripada kesebelasan utama ASEAN All-Stars akan bersama kelab dari Pantai Timur itu. – KOSMO! ONLINE