fbpx

Kerbau naik ‘minyak’, tiga petugas cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEEKOR kerbau yang menjadi haiwan korban terakhir bertukar agresif sebelum disembelih di Surau Tajul Ulum, Kampung Batu 3, Jalan Tanjung Tualang di Batu Gajah semalam.

BATU GAJAH – Suasana ibadah korban di Surau Tajul Ulum, Kampung Batu 3 di Jalan Tanjung Tualang di sini semalam, bertukar kecoh apabila seekor kerbau tiba-tiba bertukar agresif dan menanduk beberapa lelaki yang terlibat dalam upacara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Air Mati, Zailan Mohamed @ Md Rawi berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 10 pagi di mana kerbau tersebut merupakan haiwan korban kelima.

Katanya, akibat tindakan agresif kerbau itu, tiga lelaki berusia lingkungan 20-an yang membantu dalam melaksanakan ibadah korban mengalami luka dan calar di badan.

“Ketika kejadian, empat ekor kerbau telah pun selesai disembelih dan kerbau ‘naik minyak’ ini merupakan haiwan yang kelima. Mungkin takut lihat ‘kawan’ (haiwan) lain menyebabkan kerbau ini bertukar agresif.

“Kebetulan pula seorang daripada petugas, kakinya tersangkut pada tali pengikat, bila yang lain cuba bantu, mereka pula terkena tandukan kerbau tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, meskipun sukar, kerbau itu akhirnya berjaya ditumbangkan dalam tempoh 15 minit sebelum disembelih.

“Ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku. Petugas yang terlibat juga adalah orang yang biasa membantu dalam menguruskan ibadan korban di sini.

“Mereka hanya mengalami calar di dada dan luka kecil di tangan akibat ditanduk kerbau. Tiada kecederaan serius sepertimana yang ditularkan,” ujarnya.

Terdahulu, video berdurasi 38 saat yang memaparkan insiden itu tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi ramai termasuk dakwaan kononnya ada individu cedera dan dihantar ke hospital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI