fbpx

Kerani ditahan, ‘gatal tangan’ calar kereta orang guna kunci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kenderaan yang terlibat dalam perbuatan khianat di sebuah apartmen di Jalan Taman Pandan Mewah, bulan lalu.

AMPANG JAYA – Tindakan seorang lelaki tempatan mencalarkan kereta individu lain menggunakan kunci, mengundang padah apabila dicekup polis di sebuah apartmen di Jalan Taman Pandan Mewah, di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kes khianat calar kereta di apartmen itu, bulan lalu.

“Pengadu meletakkan kenderaan miliknya jenis Honda di parking lot yang disewa pada pukul 6 petang pada 18 Mei lalu dalam keadaan baik.

“Keesokan harinya kira-kira pukul 2 petang, pengadu dapati kesan calar bahagian pintu depan dan belakang, namun dia tidak pasti individu yang melakukannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, satu lagi kejadian serupa turut dilaporkan berlaku membabitkan kenderaan sepupu pengadu pada 22 Mei lalu.

“Kira-kira pukul 6.40 pagi, dia mendapati terdapat kesan calar di bahagian belakang dan bahagian sebelah kanan kereta.

“Pengadu pergi ke pejabat pengurusan apartmen untuk melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan mendapati, seorang lelaki merupakan penduduk di situ telah berjalan bersebelahan kereta milik pengadu dan sepupunya.

“Dalam kedua-dua kejadian itu, suspek disyaki mencalarkan bahagian tepi kereta dipercayai menggunakan kunci,” katanya.

Mohd. Azam berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya menahan suspek berusia 41 tahun di kawasan tempat letak kereta apartmen tersebut kira-kira pukul 5.35 petang, Khamis lalu.

“Suspek merupakan kerani di sebuah kolej dan polis turut merampas barang kes iaitu serangkai anak kunci untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI