LONDON – Sebuah pesawat Delta Airlines yang dalam penerbangan ke negeri Michigan, Amerika Syarikat terpaksa berpatah balik ke London selepas tingkap kokpit didapati retak, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Kapal terbang itu membawa 188 penumpang dan 12 kru dari Lapangan Terbang Heathrow ke Lapangan Terbang Detroit Metropolitan Wayne County.
Juruterbang mengesan keretakan pada tingkap kokpit dan melaporkan kerosakan setelah berlepas pada pukul 11.44 pagi (waktu tempatan).
“Juruterbang membuat keputusan untuk berpatah balik ke London dan akhirnya mendarat dengan selamat.
“Sebilangan penumpang membeli tiket penerbangan pada lewat hari, manakala beberapa lagi ditawarkan sebuah hotel dan makanan,” kata syarikat penerbangan Delta Airlines.
Pesawat jenis Airbus A330-200 itu ketika ini sedang menjalani penyelenggaraan. – AGENSI