BOGOTA – Calon presiden Colombia untuk pilihan raya akan datang, Miguel Uribe dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) semalam selepas ditembak dalam satu acara kempen di ibu kota negara itu, Bogota.
Uribe, 39, yang juga merupakan senator pembangkang sayap kanan, ditembak tiga kali termasuk dua di kepala dan satu di lutut, kata paramedik.
Sebuah video tular di media sosial menunjukkan Uribe sedang berucap di hadapan sejumlah penonton apabila bunyi tembakan tiba-tiba kedengaran.
Dalam beberapa imej lain, beliau kelihatan berada dalam keadaan berlumuran darah ketika sekumpulan lelaki cuba memapahnya.
Media tempatan melaporkan, suspek penembak ialah seorang remaja yang telah ditahan.
Uribe yang merupakan pengkritik kuat Presiden Gustavo Petro, merupakan ahli Parti Pusat Demokratik.
Beliau pada Oktober lalu mengumumkan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya presiden 2026. – AFP