PETALING JAYA – Penerbangan yang sepatutnya mengambil masa 50 minit bertukar menjadi perjalanan mendebarkan hampir empat jam apabila pesawat membawa penumpang dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur berdepan cuaca buruk.
Disebabkan itu, pesawat AirAsia AK6047 yang berlepas pada pukul 10.45 malam dari Lapangan Terbang Senai terpaksa melencong ke Pulau Pinang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menceritakan detik cemas itu selepas menghadiri majlis makan malam kutipan dana DAP Johor di Johor Bahru malam tadi.
Menurut Anthony, pesawat itu terpaksa berpusing di ruang udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas cubaan mendarat gagal ekoran angin lintang kuat dan ribut petir.
“Segalanya berjalan lancar dan normal sehinggalah ke peringkat menurun, di mana pesawat melalui awan tebal dan ribut petir.
“Ketika kami menghampiri landasan, angin lintang yang kuat serta ribut kencang memaksa juruterbang membatalkan pendaratan dan berpusing di ruang udara KLIA,” kongsinya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Anthony berkata, sekurang-kurangnya lima penerbangan AirAsia membuat lencongan dan dijangka penumpang lain turut terkesan disebabkan cuaca cuaca tidak menentu sekali gus menjadi antara cabaran terbesar dalam operasi penerbangan.
Bagaimanapun, beliau memuji tindakan pantas dan profesionalisme tinggi yang ditunjukkan Kapten Teng Huah Jer dan pegawai Bryan Alexander Yin Kian Yam dalam mengendalikan situasi gentir itu.
“Kapten mengendalikan situasi dengan sangat baik melalui komunikasi yang tenang dan sentiasa memberi maklumat terkini kepada penumpang. Ini memainkan peranan penting dalam menenangkan semua orang dalam situasi seperti itu” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kru kabin diketuai Muhammad Asyraf Muhammad Nasrullah dan Mandasari Nikita Florensia, Bagus Setyadi Nugroho serta Norjuniza Muhammad atas sikap profesional dan empati tinggi yang ditunjukkan sepanjang insiden itu.
“Juga ucapan penghargaan besar kepada petugas darat, pengawal trafik udara dan ramai lagi kakitangan sokongan yang merupakan wira tanpa nama dari Senai, Pulau Pinang hingga KLIA, atas tindakan pantas dan terkoordinasi anda yang membawa kami pulang dengan selamat.
“Kami selamat mendarat di KLIA pada pukul 2.40 pagi, hampir 4 jam selepas pesawat berlepas dari Senai. Sebagai tanda sokongan moral dan penghargaan kepada kru, saya menunggu semua penumpang keluar dahulu sebelum meninggalkan pesawat,” katanya. – KOSMO! ONLINE