WASHINGTON – Presiden Donald Trump memberi amaran kepada bilionair, Elon Musk bahawa beliau berdepan akibat yang serius sekiranya menyokong calon Parti Demokrat, lapor akhbar The Sun UK.
Kenyataan itu dibuat selepas Musk memadamkan hantaran di platform X yang mendakwa bahawa nama Trump berada dalam fail ‘bapa ayam kelas atasan’ milik suspek kes pemerdagangan seks, mendiang Jeffrey Epstein.
“@RealDonaldTrump ada dalam fail Epstein. Itulah sebab sebenar mereka tidak didedahkan kepada umum,” tulis Musk di X.
Tidak lama selepas Musk memuat naik hantaran itu, Trump memberi amaran bahawa beliau akan bertindak balas sekiranya taikun teknologi tersebut menyokong calon Demokrat yang menentang rang undang-undang dan perbelanjaan kerajaan.
“Beliau akan berdepan akibat yang sangat serius jika berbuat sedemikian,” kata Trump kepada stesen penyiaran NBC News.
Musk dan Trump saling melemparkan penghinaan secara terbuka sejak Khamis lalu selepas beberapa bulan bekerjasama rapat.
Dalam temu bual yang sama, Trump ditanya mengenai sama ada beliau berhasrat untuk berdamai dengan Musk.
“Maksud anda lelaki yang tidak waras itu? Saya tidak berniat untuk bercakap dengannya,” katanya.
Sementara itu, Musk memberi bayangan akan melancarkan parti politik baharu ketika perang mulutnya tercetus dengan Trump sebelum bersetuju dengan cadangan pengikut-pengikutnya untuk menamakan parti itu sebagai Parti Amerika. – AGENSI