PETALING JAYA – Demi meningkatkan kualiti lakonan, pelakon Adriana Adnan sanggup menimba ilmu di ‘universiti’ yang melahirkan ramai pelakon bermutu negara seberang iaitu di Indonesia dua tahun lalu.
Menurut Adriana, 30, selepas dicadangkan kenalan, dia menuntut ilmu selama dua bulan menerusi Project Selasa di Jakarta yang turut melibatkan artis-artis hebat di Indonesia seperti Reza Rahadian, Chicco Jerikho, dan Abima Aryasatya sebagai mentor.
“Saya ada beberapa kenalan keluarga dan rakan pelakon di sana yang mencadangkan sekolah itu. Mereka kata ramai pelakon hebat Indonesia selalu ke situ.
“Saya rasa perkara itu menarik dan saya ingin mencuba menimba ilmu daripada mereka.
“Lagipun saya nak cuba pasaran sana sebab saya memang minat tengok karya Indonesia dan nak rasa macam mana pengalaman berkerja dengan mereka,” katanya kepada Kosmo! Online semasa penggambaran drama terbaharu Viu berjudul Putri And Phrince
Berkongsi pengalaman di sana, pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot itu mengakui mencuba beberapa uji bakat lakonan bagi menembusi pasaran Indonesia.
“Ketika di sana, saya ada juga lima atau enam kali sertai uji bakat tapi memang susah sebab ada berjuta-juta orang datang uji bakat.
“Mungkin kalau nak kena betul-betul berusaha ataupun kenal dengan pihak produksi atau orang dalam untuk dapatkan job (kerja) di sana,” ujarnya lagi.
Meskipun tidak berjaya, dia memandang positif dan memanfaatkan ilmu yang dipelajari di sana.
“Saya rasa berbaloi kerana apa saya belajar di situ saya terapkan sehingga sekarang. Saya sudah tahu cara membawa watak lebih santai dan tidak dibuat-buat.
“Saya anggap kalau ada rezeki itu ada, tapi buat masa ini mungkin rezeki saya di sini.
“Tapi tidak mengapa kerana saya sudah dapat ilmu di sana dan terapkan di sini,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Adriana kini menjalani penggambaran bagi drama bersiri Viu, Putri And Phrince memegang watak Cik Aisha.
Drama 12 episod tersebut diarahkan oleh Liyana Jasmay akan disiarkan pada 21 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE