BANDAR GAZA – Tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 36 rakyat Palestin kelmarin, dengan enam daripadanya ditembak berhampiran pusat agihan bantuan yang disokong Amerika Syarikat, lapor portal berita Arab News.
Kematian itu merupakan insiden terbaharu yang dilaporkan berhampiran pusat bantuan dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GFH) di Rafah, selatan Gaza.
Serangan berlaku selepas pengagihan bantuan disambung semula berikutan penggantungan sementara.
Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal memberitahu AFP bahawa enam orang terbunuh, manakala beberapa lagi cedera akibat serangan tentera Israel berhampiran bulatan Al-Alam sekitar pukul 7 pagi (waktu tempatan).
Penduduk Gaza berkumpul di bulatan tersebut pada setiap hari sejak bulan lepas untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan dari pusat agihan GFH.
Tentera Israel berkata, ia melepaskan tembakan amaran ke arah individu yang dikatakan maju dengan cara membahayakan tentera.
Seorang penduduk tempatan, Samir Abu Hadid yang berada di lokasi semalam berkata, beribu-ribu orang berkumpul berhampiran bulatan itu.
“Sebaik sahaja beberapa orang cuba mendekati pusat bantuan, tentera pendudukan Israel melepaskan tembakan ke udara dari kenderaan berperisai yang ditempatkan berhampiran pusat tersebut dan menghalakannya ke arah orang awam,” kata Samir. – AGENSI