DI sekeliling kita terdapat pelbagai bentuk bangunan, ada yang biasa sahaja dan ada juga yang direka cukup dramatik serta memukau sehingga menjadi daya tarikan di sesuatu tempat itu.
Bangunan bukan sahaja menjadi lokasi tempat tinggal, pejabat, premis perniagaan, restoran dan lain-lain tetapi turut memainkan peranan penting sebagai simbolik dan identiti.
Sehubungan itu, setiap bangunan yang dibina mempunyai tujuan dan sejarah tersendiri. Pada minggu ini, CitaRasa kongsikan lima bangunan yang paling pelik di dunia seperti dilaporkan oleh Houseandgarden.
1- Bangunan bakul Longaberger di Ohio, AS
BANGUNAN ikonik berbentuk bakul di Newark, Ohio, Amerika Syarikat (AS) ini dahulunya merupakan ibu pejabat syarikat Longaberger, pengeluar bakul kayu maple buatan tangan negara itu dan pelbagai produk gaya hidup lain.
Dengan keluasan 180,000 kaki persegi (tujuh tingkat), ia siap dibina pada tahun 1997. Menariknya, reka bentuknya diinspirasikan daripada produk bakul keluaran syarikat itu yang sangat laris dengan saiz 160 kali lebih besar.
Bagaimanapun, syarikat itu berpindah ke lokasi lain pada 2016 dan bangunan itu dijual kepada Steve Coon, seorang pemaju di situ yang merancang mengubahnya menjadi hotel mewah.
2- Rumah bengkok di Sopot, Poland
WALAUPUN kelihatan ganjil dan seolah-olah akan runtuh tetapi usah khuatir kerana ia sebenarnya kukuh dan sengaja direka sedemikian rupa.
Dibina pada tahun 2004, rumah bengkok itu direka oleh dua orang arkitek iaitu Szotyńscy dan Zaleski yang diilhamkan daripada buku ilustrasi kanak-kanak Jan Szancer.
Di dalam rumah bengkok seluas 4,000 kaki persegi itu terdapat kedai, ruang pejabat, restoran dan Hollywood Walk of Fame versi Poland.
3- Bangunan ikan di Hyderabad, India
MEMPUNYAI reka bentuk ikan, bangunan ini merupakan ibu pejabat Lembaga Kemajuan Perikanan Negara di Hyderabad, India sehingga orang ramai menggelarnya ‘bangunan ikan’.Bangunan ikan gergasi ini sangat mengagumkan pada waktu malam dengan sorotan lampu biru yang menyinari sekitar kawasan itu sehingga mewujudkan ilusi ikan itu seolah-olah sedang berenang di bandar tersebut.
4- Muzium Karpet Nasional Azerbaijan di Baku, Azerbaijan
REKAAN bangunan berbentuk karpet gergasi ini dihasilkan oleh seorang arkitek berasal dari Austria iaitu Austria Franz Janz dan mengambil masa enam tahun untuk disiapkan.
Sesuai dengan peranannya sebagai muzium karpet, struktur bangunan ini direka menyerupai karpet yang digulung.
Di samping rekaan bangunan yang unik, muzium yang siap dibina pada 2014 mempamerkan karpet Azerbaijani yang terbesar di dunia, selain turut memaparkan teknik tenunan moden dan tradisional.
5- Quetzalcóatl Nest di Mexico City, Mexico
Direka oleh seorang arkitek, Javier Senosiain, penginapan Airbnb berbentuk ular berwarna-warni ini diilhamkan daripada tuhan ular Aztec, Quetzalcóatl.
Bangunan berbentuk ular itu dilengkapi kepala, badan dan ekor. Kebanyakan bilik berada di bahagian perut haiwan itu yang boleh diakses melalui terowong laluan pejalan kaki.
Bangunan ini juga dipaparkan di The World’s Most Amazing Vacation Rentals di Netflix, malah penyanyi Dua Lipa juga pernah menginap di situ.