JASIN – Seorang lelaki warga emas patah tulang rusuk selepas ditanduk lembu korban dalam kejadian di Kampung Bukit Tembakau, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa Md. Rabu Ahmad, 60, turut mengalami pendarahan di bahagian paru-paru.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa cuba mendekati lembu kedua yang ingin disembelih pada program korban anjuran Masjid Al-Faizin di kampung berkenaan.
Anak mangsa, Siti Nur Sakierah Md. Rabu, 28, berkata, lembu tersebut bagaimanapun secara tiba-tiba menjadi agresif dan menyerangnya.
“Ayah memang selalu terlibat dalam gotong-royong korban, setiap tahun dia akan turun padang bantu uruskan lembu, tak sangka tahun ini ayah ditimpa kemalangan.
“Doktor maklumkan ada salah satu tulang rusuk ayah patah dan ada pendarahan dalam paru-paru, jadi terpaksa pasang tiub untuk keluarkan darah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Tambahnya, ayahnya kini sedang menerima rawatan di Hospital Jasin dan berada dalam keadaan stabil.- KOSMO! ONLINE.