JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato’ Onn di sini bersama kira-kira 4,000 jemaah.
Hadir sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim serta suami Tunku Puteri Johor, Dennis Muhammad Abdullah.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani dan barisan-barisan exco negeri.
Solat sunat Aidiladha tersebut diimamkan Imam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Imam Besar Muhammad Bukharudin.
Beliau turut menyampaikan khutbah bertajuk ‘Pengorbanan Agong Nabi Ibrahim Alaihis-Salam’.
Terdahulu, dalam satu kenyataan di media sosial Facebook, baginda bertitah mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha.
“Semoga ibadah korban dapat dilaksanakan dengan sempurna serta mendapat keberkatan Allah SWT,” titahnya. – KOSMO! ONLINE