SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa terhadap peningkatan kes penipuan pakej haji yang melibatkan umat Islam di negara ini.
Menerusi hantaran media sosial rasmi Selangor Royal Official, Sultan Sharafuddin menitahkan agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat pelancongan yang menawarkan pakej haji dengan mengambil kesempatan untuk menipu umat Islam.
“Lebih menyedihkan beta, apabila pihak yang mengeksploitasi ini adalah dari kalangan umat Islam sendiri yang tergamak menipu saudara seagama demi kepentingan peribadi,” titah baginda hari ini.
Justeru, Sultan Sharafuddin menyeru agar umat Islam sentiasa memelihara kesucian ibadah haji dengan memastikan setiap urusan dibuat dengan ejen dan syarikat yang berlesen serta diiktiraf oleh pihak berkuasa untuk mengendalikan urusan haji dan umrah.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengutus ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya di Selangor.
Baginda berdua berharap semua umat Islam mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah S. W. T dan melaksanakan ibadah korban demi membantu yang miskin serta menginsafi nasib golongan yang lebih daif.
“Beta turut mendoakan agar jemaah Haji Malaysia di Tanah Suci dapat melakukan ibadah mereka dengan sempurna dan dikurniakan Haji yang mabrur seterusnya kembali ke tanah air dengan selamat,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE