TAIPEI – Seorang ketua daerah berusia 53 tahun di Taiwan didakwa atas keganasan rumah tangga dan melakukan pembunuhan selepas menumbuk isterinya di kepala, menyebabkan mangsa meninggal dunia, lapor portal berita MS News semalam.
Kes bermula 20 Disember tahun lalu, apabila lelaki dikenali sebagai Wu itu dan isterinya sedang menyediakan pencuci mulut tradisional Cina.
Mereka menyediakan pencuci mulut di dapur komuniti untuk diedarkan kepada warga tua di kawasan Perbandaran Lukang, Changhua.
Pertengkaran dilaporkan tercetus mengenai bagaimana tugas perlu dibahagikan.
Wu didakwa memberikan tumbukan kuat ke kepala isterinya sebelum berlalu pergi.
Mangsa kemudian mengalami pening dan muntah.
Wanita itu dibawa ke hospital, namun koma selepas menjalani pembedahan.
Selepas 42 hari berada di unit rawatan rapi, mangsa diisytiharkan meninggal dunia.
Pihak berkuasa yang melakukan siasatan, membuat kesimpulan bahawa Wu bukan sahaja melakukan kesalahan serius tetapi berbohong dalam kenyataannya dan cuba mengalihkan kesalahan kepada orang lain.
Sehingga kini Wu masih ditahan oleh pihak berkuasa. – AGENSI