fbpx

‘Saya lebih bahaya daripada lelaki penghunus pedang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMBALI ke Kuala Lumpur untuk promosi filem, Kamal Haasan mengakui Malaysia sentiasa dekat di hatinya.

BIARPUN sudah menginjak usia 70 tahun, bintang legenda dari India, Kamal Haasan masih menjadi pujaan ramai sehingga ke hari ini.

Kamal atau nama sebenarnya Parthasarathy Srinivasan, kini hadir dengan buah tangan terbaharunya menerusi filem Thug Life arahan sutradara terkenal, Mani Ratnam.

Ini adalah kerjasama kedua Kamal bersama Mani Ratnam selepas kali terakhir menerusi filem Nayakan pada 1987.

Bersempena dengan promosi filem Thug Life, Kamal beserta pelakon-pelakon filem tersebut telah berkunjung ke Malaysia untuk acara bertemu peminat dan sidang media bersama media tempatan.

Kamal sewaktu ditemui HibGlam berkata, dia sangat menyukai Malaysia dan negara ini begitu dekat di hatinya.

“Saya mempunyai ramai peminat serta rakan di sini. Saya pernah menjalani penggambaran di sini beberapa tahun lalu. Malaysia dan India mempunyai persamaan kerana kita kongsi budaya yang sama.

“Kita juga berkongsi bahasa yang sama iaitu bahasa Tamil, tetapi bukan sahaja peminat berbangsa India, ada juga peminat Melayu dan Cina yang mengenali saya di sini.

“Elemen ini membuatkan saya jatuh cinta dengan Malaysia. Terasa seperti berada di rumah sendiri.

“Terima kasih kepada peminat-peminat di Malaysia kerana sentiasa menyokong saya dari dahulu,” katanya.

Bercakap mengenai filem baharunya, Thug Life, Kamal sebenarnya teruja kembali bekerjasama dengan Mani Ratnam selepas 38 tahun.

“Biarpun hampir empat dekad kami tidak bekerjasama, namun jalinan persahabatan kami tidak pernah pudar. Saya sudah menganggap Mani seperti saudara sendiri. Kami sama-sama berkembang dalam industri ini.

“Saya bukan lagi pelakon yang sama, Mani juga bukan lagi pengarah yang sama. Beliau telah berkembang dan terus meningkatkan kualiti karyanya.

“Mani seorang pengarah filem yang hebat. Lihat sahaja portfolio karya beliau. Saya teruja kembali bekerjasama dengan Mani. Kolaborasi ini diharapkan dapat memberikan impak maksima kepada peminat filem Tamil,” jelasnya.

Tidak seperti filem-filemnya sebelum ini, Thug Life menggunakan tajuk dalam bahasa Inggeris. Ditanya kenapa dia sebagai penerbit bersetuju menggunakan nama Thug Life, kata Kamal dia mahu filem ini menerokai pasaran yang lebih universal.

“Sebenarnya kami telah mempertimbangkan banyak tajuk untuk filem ini kerana filem ini akan ditayangkan dalam pelbagai bahasa. Tajuk perlu berkait dengan semua penonton terutamanya Gen-Z. Setelah berbincang kami memutuskan Thug Life adalah tajuk yang sesuai,” kongsinya.

Berlakon filem aksi pada usia emas pastinya sukar apabila tenaga dan kudrat tidak sama seperti pelakon muda. Kamal bagaimanapun percaya masih mampu merealisasikan kehendak skrip.

Berjuang tanpa pedang

“Saya peminat Mahatma Gandhi. Saya seorang pejuang dan saya berlawan dengan bersungguh-sungguh. Saya jauh lebih berbahaya daripada lelaki yang menghunus pedang.

“Saya tidak perlu berlakon sebagai lelaki yang kuat dan sentiada berdepan ujian kerana saya sendiri adalah lelaki itu. Saya sudah lalui banyak kali. Saya tak perlu beritahu bila atau bagaimana. Tapi kalau anda perhati betul-betul, anda akan nampak,” ujarnya.

Selain terkenal sebagai pelakon dengan aura luar biasa, Kamal juga dikenali sebagai anak seni yang sangat cakna dengan perkembangan teknologi terkini dan mendahului zaman.

Dia adalah pelopor penggunaan terknologi terkini dalam perfileman India. Menerusi filem Vishwaroopam, Kamal telah memperkenalkan teknologi bunyi 3 Dimensi.

Menerusi filem Aalavandhan pula, dia menjadi yang pertama menggunakan animasi.

Khabarnya juga Kamal terbang ke Amerika Syarikat untuk belajar tentang teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Ramai orang tak sedar mereka sebenarnya sudah menggunakan AI. Sebagai contoh apabila anda mencari sesuatu dalam telefon pintar anda. AI sedang berfungsi. Teknologi sentiasa berkembang.

“Dahulu kami bangga mengatakan kami menggunakan kamera 150 megapiksel. Kini telefon anda sendiri mempunyai kualiti yang sama. AI hanyalah satu langkah ke hadapan. AI membawa kebaikan kepada industri hiburan dan membantu kami dalam cara yang tidak pernah kami bayangkan sebelum ini.

“Namun saya tidak akan menggunakan kecanggihan teknologi untuk ‘remake’ filem-filem saya terdahulu. Apa gunanya mengulang sesuatu yang sudah dilakukan? Saya lebih suka bekerja untuk sesuatu yang baharu. Saya percaya anda juga mahukan perkara yang sama. Apabila anda membeli pakaian, anda tidak beli reka bentuk yang sama

setiap kali. Anda mencari sesuatu yang berbeza. Itu logik yang sama saya gunakan dalam filem,” jelasnya.

Thug Life yang turut dibintangi Trisha Krishnan, Silambarasan, Abhirami, Aishwarya Lekshmi, Ashok Selvan dan Ali Fazal sudah berlegar di pawagam tanah air sejak 5 Jun 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI