HARTFORD, CONNECTICUT – Seorang remaja di negeri Connecticut ditahan kerana memandu kereta melebihi had laju disebabkan lewat menghadiri temu duga kerja, lapor akhbar New York Post semalam.
Azmir Djurkovic, 19, memandu kereta Mercedes E300 milik keluarganya di lebuh raya selatan I-91 dekat Hartford sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan), Rabu lalu.
Polis berkata, kereta itu dipandu pada kelajuan 212 kilometer sejam.
“Anggota polis menyalakan lampu dan siren, namun dia gagal berhenti dan memandu laju sambil menukar lorong secara tidak selamat.
“Kami menghubungi pemilik kenderaan tersebut dan diberitahu bahawa Djurkovic tidak berhenti kerana lewat menghadiri temu duga kerja,” kata polis.
Djurkovic menyerah diri kepada polis pada hari sama dan didakwa atas beberapa kesalahan kesalahan lalu lintas.
Dia akan dihadapkan ke mahkamah pada 17 Jun ini. – AGENSI