PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Putra, Putrajaya pada pagi tadi.
Anwar menerusi hantaran Facebook mengucapkan syukur kepada Allah dengan suasana penuh ketenangan dan harmoni dalam menunaikan ibadah tersebut.
“Selain mengalunkan takbir Aidiladha secara bersama-sama, kesempatan ini turut dimanfaatkan untuk mendengar Khutbah bertajuk ‘Korban dan Semangat Kebersamaan’ disampaikan oleh Imam Besar Masjid Putra, Dr. Muhamad Zakuwa Rodzali.
“Para jemaah diingatkan untuk mengorbankan ego, sifat kedekut, kejahilan dan kealpaan yang membelenggu diri demi kebaikan agama, masyarakat dan diri sendiri,” katanya hari ini.
Perdana Menteri berkata, sebelum pulang, beliau dan isteri sempat bersalaman, bertegur sapa dan bergambar bersama jemaah sebagai kenangan dalam meraikan hari yang penuh barakah dan kemuliaan ini.
“Semoga Aidiladha kali ini menjadi titik tolak permulaan yang lebih baik, dipenuhi kasih sayang, ketenangan, kekuatan dan keberkatan buat kita semua, insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE