KLANG – Pasangan suami isteri mangsa tragedi bot terbalik di perairan Tanjung Harapan di sini dipercayai hanyut ketika bot tersebut ditarik dari lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Haikal Jammy Ngali berkata, siasatan mendapati bot mangsa ditarik bot awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi selepas menerima panggilan pada pukul 5 petang semalam.
Insiden bot terbalik itu dikatakan berlaku kira-kira pukul 4 petang.
Justeru, kata Haikal, operasi pencarian di permukaan laut akan dilakukan berbanding penyelaman.
“Kita melakukan aktiviti selaman dan mengapungkan bot tersebut namun tidak menjumpai dua mangsa yang hilang.
“Besar kemungkinan mangsa dibawa arus semasa bot ditarik (dari lokasi kira-kira 0.3 batu nautika barat Tanjung Harapan),” katanya ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat, Pejabat Maritim Selangor di sini, hari ini.
Haikal menolak andaian pasangan suami isteri tersebut tercampak ekoran bot itu terbalik dengan mangsa ditemui di ruang hadapan bot berkenaan.
“Kita sudah tahu lokasi bot itu terbalik dan akan mempergiatkan pencarian di kawasan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao memaklumkan, setakat ini tiada penemuan melibatkan pasangan tersebut meskipun radius pencarian dilakukan di kawasan seluas 5 batu nautika.
“Lokasi telah dikenal pasti dan biasanya mangsa yang tenggelam akan timbul selepas 24 jam. Jadi, kami harap dapat menemui mereka dengan segera.
“Mayat tiga mangsa termasuk kanak-kanak pula sudah dituntut keluarga selepas selesai bedah siasat (di Hospital Shah Alam),” katanya.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat akan dilanjutkan sehingga pukul 7 malam ini.
“Bot ini akan bawa ke pangkalan Polis Marin Pelabuhan Klang untuk pemeriksaan dan siasatan melibatkan aspek teknikal,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati beberapa ahli keluarga mangsa melakukan upacara keagamaan supaya Gan Hon Tat, 32, dan isterinya, Careen Man, 29, segera ditemui. – KOSMO! ONLINE