fbpx

Lelaki lemas ketika periksa kedalaman Sungai Kenerong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis dan bomba mengangkat mayat mangsa yang dijumpai lemas di Sungai Kenerong, Kuala Krai hari ini. FOTO IHSAN POLIS

KUALA KRAI – Kegembiraan 10 sekawan untuk bermandi-manda di Sungai Kenerong di sini berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka dijumpai lemas selepas memeriksa kedalaman air di kawasan tersebut hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 47 tahun ditemukan lemas di sungai tersebut kira-kira empat jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati, mangsa bersama sembilan orang rakannya keluar dari rumah di Kampung Dabong di sini untuk mandi di Sungai Kenerong.

Menurutnya, apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai turun terlebih dahulu untuk memeriksa kedalaman air sungai, namun dihanyutkan arus deras dan terus hilang.

“Operasi mencari dan menyelamat melibatkan tiga anggota dari Balai Polis Dabong dan 10 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Dabong digerakkan ke lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dijumpai kira-kira pukul 4.13 petang tadi sebelum dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mazlan memberitahu, sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mandi di sungai kerana keadaan air sungai yang deras ketika ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI