WASHINGTON – Sebuah kapal kargo yang membawa 3,000 kereta termasuk 800 kenderaan elektrik (EV) ke Mexico, terkandas di tengah Lautan Pasifik selepas terbakar secara tiba-tiba, lapor portal berita Bangkok Post semalam.
Kapal Morning Midas sepanjang 182.88 meter itu sedang dalam perjalanan ke Pelabuhan Lazaro Cardenas dari China.
Kapal itu terbakar di Lautan Pasifik, kira-kira 450 kilometer ke selatan rantau Alaska, Selasa lalu.
Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 3.15 petang (waktu tempatan) selepas anak kapal mengesan kepulan asap dari dek yang menyimpan EV.
“Kru kapal cuba memadam kebakaran tetapi gagal, menyebabkan mereka meninggalkan kapal dengan segera.
“Kesemua 22 kru berjaya dibawa ke tempat selamat oleh kapal kargo berhampiran,” kata Pengawal Pantai AS. – AGENSI