KUALA LUMPUR – Impian jaguh muay thai negara, Johan ‘Jojo’ Ghazali Zulfikar untuk kembali ke landasan kemenangan lebur apabila tewas tipis menerusi keputusan split decision (keputusan majoriti) kepada petarung Colombia-Amerika, Diego Paez dalam aksi ONE Fight Night 32 di Stadium Lumpinee, Bangkok hari ini.
Kekalahan tersebut adalah yang kedua berturut-turut buat Jojo di pentas ONE Championship selepas sebelum ini tewas kepada petarung Mexico, Johan Estupinan pada Disember tahun lalu.
Pertarungan yang berlangsung dalam kategori flyweight itu menyaksikan Jojo, 18, berdepan lawan lebih berpengalaman berusia 31 tahun yang sebelum ini mencetuskan sedikit drama apabila gagal dalam ujian hidrasi.
Aksi di pusingan pertama dilihat seimbang dengan kedua-dua petarung saling berbalas serangan untuk menguji kekuatan masing-masing.
Memasuki pusingan kedua, Jojo mula mempamerkan corak lebih agresif dengan melepaskan beberapa siri kombinasi tumbukan dan tendangan padu yang berjaya menguji pertahanan Paez.
Pusingan ketiga menyaksikan drama berlaku apabila Jojo mengalami kecederaan pada matanya menyebabkan pengadil terpaksa menghentikan seketika perlawanan pada 60 saat terakhir.
Bagaimanapun, sebaik aksi bersambung, Jojo tidak mengalah dan berjaya melepaskan satu tumbukan padu yang tepat mengenai muka lawannya.
Namun, usaha itu tidak cukup untuk meyakinkan juri apabila Paez diumumkan sebagai pemenang sekali gus memadamkan hasrat Jojo untuk mencari kemenangan semula. -KOSMO! ONLINE