MELAKA – “Dia tak sedar langsung, tak dengar orang panggil, tak rasa lapar, dia sangka baru sejam dia hilang.”
Itu yang dikongsikan Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, remaja orang kurang upaya (OKU) pembelajaran kepada ibunya selepas hilang selama lebih 30 jam di Kampung Permatang Pasir, di sini.
Remaja itu yang mesra dengan panggilan ‘Gemuk’ ditemui kira-kira pukul 2 pagi semalam dalam keadaan terbaring lemah di bawah pokok pada jarak kira-kira 600 meter daripada pos operasi mencari dan menyelamat (SAR) pasukan bomba.
Menurut ibunya, Siti Norehan Azhar, 38, remaja tersebut tidak sedarkan diri hampir sepanjang tempoh kehilangannya dan hanya tersedar ketika dipapah keluar oleh anggota bomba.
“Dia cuma ingat masa keluar cari lembu, dia nampak ada seekor yang tak cukup jadi dia masuk semula ke kawasan kebun berdekatan kolam nak cari semula lembu dan lepas tu dia langsung tak ingat apa-apa.
“Dia tak sedar langsung, tak dengar orang panggil, tak rasa lapar, cuma masa dia ditemui, bila ditanya nak air atau makanan, dia angguk, tapi masa tu tak boleh beri apa-apa lagi. Dia ingat baru sejam dia hilang,” katanya ketika dihubungi pemberita malam tadi.
Ujarnya, kini anaknya itu masih dirawat di Hospital Melaka untuk pemantaun lanjut keadaan kesihatan sebelum dibenarkan pulang.
Pada masa sama, Siti Norehan meminta netizen untuk berhenti melontarkan komen yang mengguris hati keluarganya kerana ada pihak mendakwa kehilangan Aidil hanyalah konten semata-mata. – KOSMO! ONLINE