PETALING JAYA – Berpindah rumah berhampiran tanah perkuburan, pelakon Harun Hashim tidak kisah dicop kurang siuman apabila tiga kali hampir setiap hari pasti menziarahi pusara isterinya, Allahyarham Sakinah Ganjali.
Katanya, kerinduan terhadap suri hidup yang meninggal dunia tujuh bulan lalu akibat kanser payu dara itu masih menggunung.
Wanita istimewa itulah yang sentiasa di sisi sebagai peneman susah senang, terutama ketika dia terlantar sakit beberapa tahun lalu.
“Sampai sekarang saya masih memujuk hati merelakan pemergian arwah tetapi perasaan rindu selalu hadir kerana isteri yang selalu temani saya dan menjadi penunjuk jalan disebabkan masalah penglihatan saya. Dia yang menjadi pemandu arah, arwahlah yang ikut waze.
“Jadi apabila naik sahaja kereta, mesti kenangan semakin kuat tambahan pula dahulu kalau arwah dalam kesakitan, saya akan membawanya berpusing ke merata tempat bagi meredakan kesakitannya dan kami hanya pulang sebelum subuh.
“Semua memori masih terakam kemas dalam ingatan terutama ketika dia meraung kesakitan dalam kereta. Itu saya tak boleh lupa. Kehilangan arwah bagai membawa separuh nyawa saya.
“Pengorbanan dia menjaga saya ketika tidak mampu bekerja dahulu sangat besar,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online pada tayangan drama Abah dan Bilal di TV AlHijrah, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, barang yang selalu digunakan arwah, termasuk pakaian kesukaan serta bantal yang diletakkan di dalam kereta masih disimpan kemas hingga kini.
Mengimbas kenangan, aktor berusia 69 tahun itu mengakui sakit dihidapi kira-kira 10 tahun lalu membuatkannya tidak dapat bekerja. sekali gus tiada sumber kewangan.
Namun atas bantuan isteri, mereka sama-sama bangkit mencari rezeki yang halal dengan mengumpul tin kosong untuk dijual bagi mendapatkan wang membeli makanan.
Menurutnya, Sakinah tidak pernah merungut apatah lagi membiarkannya terkapai-kapai sendirian, selain berusaha mencari pendapatan lain menerusi perkongsian video dalam YouTube yang dibuka anak untuk mereka.
“Kalau nak cerita kehidupan yang kami lalui memang sukar tetapi kami enggan susahkan sesiapa termasuk anak-anak. Jadi apabila ada kudrat, saya dan isteri keluar cari tin dan jual, dapatlah duit sikit.
“Waktu itu tiada tawaran berlakon, saya sakit siapa nak bagi kerja. Alhamdulillah, Sakinah tidak tinggalkan saya dan YouTube kami pun ramai tengok. Cuma hasilnya tak seberapa sebab apabila orang lain upload semula video kami, mereka yang raih tontotan tinggi.
“Kami berhenti buat video dan beberapa tahun kebelakangan ini baru saya dapat ‘job’ tapi susah pula bergerak sebab mata saya pula kabur. Tak boleh jalani pembedahan sebab penyakit darah tinggi saya,” ujarnya.
Allahyarham Sakinah menghembuskan nafas terakhir pada usia 48 tahun di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 21 November tahun lalu.
Sementara itu, mengenai telefilem arahan Pali Yahya bersempena Aidiladha, selain Harun pelakon lain yang terlibat adalah Azhan Rani, Ummi Nazeera dan Luqman Hafidz.
Bakal menemui penonton pada 8 Jun menerusi saluran TV AlHijrah pukul 9 malam, aktor veteran yang mula bergelar anak seni pada 1978 itu memegang watak bapa kepada lelaki autisme (Azhan) yang ingin ke Mekah mengerjakan umrah. – KOSMO! ONLINE