MINA – Seorang wanita warga emas menjadikan rutin harian membaca al-Quran dan kerap bertahajud sebagai amalan untuk kekal sihat sehingga mampu berjalan kaki bagi melakukan lontaran di Jamrah Kubra, di sini.
Menurut Asiah Abu Bakar, 78, dia tetap berasa bertenaga untuk melakukan ibadah melontar meskipun berjalan kaki kira-kira lapan kilometer pergi dan balik antara khemah penginapan di Mina dan Jamrah Kubra.
“Alhamdulillah, saya tetap berasa gembira selepas melempar tujuh anak batu di Jamrah Kubro. Semasa dapat panggilan haji pun sudah gembira inikan mampu melontar hari ini (semalam).
“Syukur ada anak perempuan yang menjadi pengiring. Saya pernah datang umrah dan ini haji kali pertama,” katanya di sini semalam.
Selesai melakukan lontaran, Asiah mengeluarkan kaca mata sebelum membaca doa di dalam buku doa dengan lancar.
Anak Asiah, Nor Azilah Abdul Shatar, 52, berkata, ibunya yang beralamat di Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan membaca al-Quran dan bangun pada sebelah pagi untuk tahajud sejak beberapa puluh tahun dahulu.
“Mungkin sebab amalan rajin bangun tahajud itu mak saya masih kuat berjalan kaki untuk ibadah melontar ini. Lagipun ini impian dia untuk menunaikan rukun Islam kelima.
“Lagipun datuk saya mempunyai sekolah pondok jadi ibu saya sudah terbiasa dengan rutin tersebut,” katanya.
Selain itu, Nor Azilah, ibunya sudah mengumpul wang sejak berpuluh tahun lalu bagi menunaikannya mengerjakan haji.
“Saya hadir sebagai pengiring kepada ibu saya. Alhamdulillah selain kami berdua, bapa saya, Abdul Shatar Umar, 81, dan abang, Abdul Arif Anuar, 54, turut dipanggil ke Tanah Suci,” katanya. – KOSMO! ONLINE