fbpx

Tukang jahit mengaku tidak salah ‘sentuh’ remaja OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

AMPANG – Seorang tukang jahit didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU), bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 25 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan dengan maksud untuk mencabul kehormatan remaja itu yang ketika kejadian berumur 17 tahun, di sebuah tandas di Taman Keramat di sini, pukul 6.30 petang, sekitar awal Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani memohon jaminan sebanyak RM6,000 dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati mangsa yang merupakan OKU serta saksi pendakwaan.

Sementara peguam, Lingswaran Singh mewakili tertuduh memohon jaminan minimum kerana anak guamnya yang bekerja sebagai tukang jahit perlu menanggung keluarga.

Hakim Nurulizwan kemudian menetapkan 21 Julai ini bagi sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pendakwaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI