KUALA LUMPUR – Projek akhir pelajar universiti perlu diketengahkan sebagai produk komersial supaya ia diangkat menjadi produk yang mampu menjana pendapatan serta membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, sehubungan itu pihaknya akan terus komited dalam menggalakkan pembangunan inovasi akar umbi dan sosial.
Katanya, program seperti My I.S. Perintis membolehkan projek akhir tahun pelajar diketengahkan untuk pergi ke peringkat lebih tinggi.
“Kebanyakan pelajar menyimpan sahaja projek mereka selepas tamat pengajian, tetapi melalui dana pembangunan inovasi yang disediakan, kami bantu bawa projek itu ke peringkat lebih tinggi hingga boleh dikomersialkan.
“Ramai orang yang buat inovasi separuh jalan dan ia tak sampai kepada tahap untuk bersaing di pasaran. Oleh itu kita membantu mereka dari tahap prototaip sehingga ke pra-komersial melalui proses pensijilan dan pengujian teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Filem Mission Impossible di TGV, Pavillion Bukit Jalil sempena Hari Wartawan Nasional 2025.
Menurut Sharmila, pengkormesialan itu diharap dapat membantu golongan warga emas yang dijangka meningkat kepada sembilan juta menjelang tahun 2050 dengan berusaha membangunkan penyelesaian teknologi untuk menjalani kehidupan lebih selesa dan produktif.
Tambahnya, sebahagian warga emas masih sihat dan mampu menyumbang kepada ekonomi jika dibantu dengan teknologi yang sesuai.
“Inilah antara penyelesaian yang sedang kami usahakan melalui kolaborasi bersama startup tempatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sharmila memaklumkan antara pencapaian YIM termasuk menjana pulangan RM3.6 juta melalui produk yang dimajukan dengan pelaburan RM300,000.
“Ada produk cendawan di Kelantan yang kita tengok macam biasa sahaja, tetapi sebenarnya ekosistem dia dapat memberi pekerjaan kepada 40 orang satu projek sahaja.
“Membuka peluang pekerjaan kepada pekerjaan 40 individu antara kesan-kesan positif yang kita bagi. Itu baru satu projek, kita telah pun berjaya melancarkan sebanyak 220 lebih projek di seluruh negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE.