GEORGE TOWN – Seorang pemuda dilaporkan mengalami kecederaan apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu terbabas ke dalam longkang di Jalan Bukit Kukus, Ayer Itam di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.24 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun dilaporkan tersepit di tempat duduk pemandu selepas keretanya dikatakan hilang kawalan ketika melalui jalan tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong.
“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan mangsa mengalami kecederaan ringan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, pemandu tersebut telah diberi rawatan awal oleh unit Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan seterusnya dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. – KOSMO! ONLINE