KOTA BHARU – Kertas siasatan berhubung kes sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas di Teluk Intan, Perak pada 13 Mei lalu dijangka siap hujung bulan ini.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, ia dijangka siap dalam masa sebulan sebelum dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Siasatan awal mendapati, syarikat lori itu telah melanggar syarat permit apabila membawa muatan yang tidak dibenarkan. Lori itu sepatutnya membawa arang batu, namun ia memuatkan batu kerikil,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Motosikal Sempena Ops Hari Raya Aidiladha di Jalan Kuala Krai, di sini semalam.
Muhammad Kifli memberitahu, muatan batu kerikil merupakan bahan yang tidak dibenarkan dan lori tersebut sudah disita untuk siasatan lanjut.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, sembilan anggota FRU maut selepas trak dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori semasa dalam perjalanan pulang selepas tamat bertugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan, Perak.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi pada 13 Mei lalu, trak itu dinaiki 18 anggota pasukan Unit 5 FRU yang berpangkalan di Sungai Senam di sini.
Kemalangan itu mengakibatkan sembilan anggota FRU maut, manakala sembilan lagi anggota mengalami pelbagai kecederaan. – KOSMO! ONLINE