ALCANIZ, Sepanyol – Pelumba Yamaha, Fabio Quartararo berjanji akan ‘membalas dendam’ di Grand Prix (GP) Aragon hujung minggu ini selepas kecewa terpaksa menarik diri GP Britain hujung bulan lalu gara-gara kerosakan jentera ketika sedang mendahului perlumbaan.
Bekas juara dunia 2021 itu yang kini menghuni tangga kelapan keseluruhan, mahu menjadikan Litar Aragon sebagai pentas kebangkitan walaupun mengakui ia bukanlah trek kegemarannya.
“GP Britain tidak berakhir seperti kami mahukan. Waktu itu memang sangat sukar untuk diterima, bukan sahaja saya tetapi juga untuk pasukan, jurutera dan semua peminat.
“Tapi ada juga perkara positif boleh diambil daripada perlumbaan itu. Saya sangat laju dan kami mendahului perlumbaan dengan jarak yang besar, itu satu perasaan cukup hebat.
“Sekarang matlamat kami terus bekerja keras dan cipta satu lagi peluang seperti itu untuk bersaing di kelompok hadapan.
“Saya akui ia pasti mencabar kerana Aragon biasanya bukan litar yang mudah untuk saya, tetapi saya akan tetap berikan 100 peratus,” kata Quartararo.
Rakan sepasukannya, Alex Rins juga memasang impian untuk kembali menyerlah selepas prestasi hambar musim ini.
Rins ketika ini berada di tangga ke-17 keseluruhan dan mahu menggunakan kelebihan di trek kegemarannya untuk naik semula ke barisan hadapan.
“Aragon litar istimewa untuk saya. Banyak kenangan manis di sini. Harap kali ini jentera berikan saya peluang untuk bersaing,” kata Rins.
Pengarah Yamaha, Massimo Meregalli juga mengakui Aragon bukanlah litar ideal buat pasukannya tetapi percaya ia boleh dijadikan medan ujian sebenar untuk melihat keupayaan jentera mereka. – AGENSI