PETALING JAYA – Impian skuad Indonesia untuk melangkah ke pusingan kelayakan keempat Piala Dunia 2026 masih bernyala selepas menewaskan China 1-0 dalam aksi Kumpulan C sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno itu, pasukan Sang Garuda membariskan kesebelasan terbaik dengan sembilan pemain berpangkalan luar negara diturunkan seperti Jay Idzes, Thom Haye dan Emil Audero.
Status China yang menduduki ranking ke-94 dunia tidak menggentarkan skuad kendalian Patrick Kluivert itu selepas berjaya mendominasi pada awal saingan.
Asakan bertali arus yang diberikan membuahkan hasil apabila tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti pada penghujung babak pertama yang berjaya disempurnakan oleh Ole Romeny.
Bersambung pada babak kedua, China berusaha untuk menggandakan tekanan ke kubu tuan rumah tetapi Audero dilihat tangkas untuk memastikan gawang tidak dibolosi.
Keputusan kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus membuatkan Indonesia sebelah kaki untuk berada dalam kelompok empat terbaik peringkat Kumpulan C.
Pada satu lagi perlawanan, Australia semakin hampir untuk layak ke Piala Dunia selepas menewaskan Jepun 1-0 di Perth hasil jaringan kemenangan Aziz Behich pada minit ke-90.
Dua negara teratas akan layak secara automatik dengan Jepun sah selaku juara kumpulan manakala negara di posisi ketiga dan keempat akan beraksi ke pusingkan kelayakan seterusnya pada Oktober depan. – KOSMO! ONLINE