PETALING JAYA – PMB Investment Berhad hari ini mengumumkan agihan pendapatan bagi PMB Dana Al-Aiman untuk tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025 sebanyak 2.52 sen seunit, dengan jumlah agihan keseluruhan RM4.46 juta.
Nilai Aset Bersih (NAB) seunit sebelum agihan ialah RM0.4046, yang diselaraskan kepada RM0.3794 selepas agihan.
Agihan berkenaan, yang dikreditkan berdasarkan tarikh selepas 31 Mei 2025, mewakili hasil sebanyak 5.01 peratus berdasarkan NAB penutupan dana.
Mengulas prestasi dana itu, Ketua Pegawai Pelaburan PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin berkata, PMB Dana Al-Aiman terus memberikan pendapatan yang stabil sambil mengekalkan modal, dengan pulangan terkumpul tiga tahun sebanyak 16.76 peratus, atau purata pulangan tahunan sebanyak 5.56 peratus setakat 31 Mei 2025.
“Pencapaian ini mencerminkan pendekatan pelaburan kami yang berdisiplin, piawaian tadbir urus yang kukuh, serta komitmen terhadap penciptaan nilai mampan untuk para pelabur kami,” katanya dalam kenyataan.
Dilancarkan pada tahun 1968, PMB Dana Al-Aiman merupakan dana pertama yang diperkenalkan oleh PMB Investment.
Dalam keadaan pasaran yang normal, dana ini memperuntukkan antara 70 hingga 99.5 peratus daripada NAB kepada ekuiti patuh syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti yang patuh syariah.
Baki selebihnya akan dilaburkan dalam instrumen pasaran wang Islam, penempatan deposit Islam, sukuk dan/atau pelaburan lain yang dibenarkan menurut syariah. – KOSMO! ONLINE