PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan hasrat beliau agar kemelut yang sedang berlaku antara Pakistan dan India diselesaikan secara damai ketika dihubungi rakan sejawat beliau dari Pakistan, Shehbaz Sharif hari ini.
Jelas Perdana Menteri itu, penyelesaian tersebut perlu dicapai bagi menjamin kestabilan dan keamanan serantau yang berpanjangan.
“Saya menerima panggilan daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang kini sedang menunaikan ibadah haji. Saya mendoakan agar beliau dikurniakan haji mabrur serta mengucapkan Eid Mubarak kepada seluruh rakyat Pakistan.
“Saya juga menyampaikan hasrat agar Pakistan dan India dapat mencapai penyelesaian yang damai dan tuntas demi menjamin kestabilan dan keamanan serantau yang berpanjangan,” tulis beliau dalam satu hantaran terbaharu di media sosial.
Anwar juga berharap agar lawatan rasmi Shehbaz ke Malaysia dapat dijadualkan semula apabila keadaan di negara beliau mengizinkan.
“Malaysia menantikan peluang untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala yang strategik, saling menghormati dan membawa manfaat bersama.
“Saya turut menghargai ucapan tahniah yang disampaikan oleh PM Shehbaz atas kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini,” tulis beliau lagi. – KOSMO! ONLINE