WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sekatan terhadap empat hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang berpangkalan di The Hague, Belanda, lapor portal berita RT News semalam.
Sekatan itu berpunca daripada tindakan yang disifatkan Washington sebagai tidak sah dan tidak berasas terhadap Israel.
Empat hakim yang dikenakan sekatan itu ialah Solomy Balungi Bossa dari Uganda; Luz del Carmen Ibanez Carranza dari Peru; Reine Adelaide Sophie Alapini Gansou dari Benin dan Beti Hohler dari Slovenia.
“(Empat hakim terbabit dikenakan sekatan) kerana tindakan tidak sah dan tidak berasas mereka yang menyasarkan Amerika dan sekutu rapat kami, Israel,” kata Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dalam satu kenyataan.
Pada November 2024, ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan menteri pertahanannya ketika itu, Yoav Gallant.
Ia susulan dakwaan mereka melakukan kekejaman melampau di Semenanjung Gaza termasuk menggunakan kelaparan sebagai senjata peperangan
Dalam kenyataan beliau, Rubio menuduh ICC dipolitikkan dan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat, mendakwa dan menghukum rakyat AS serta sekutunya.
Menurut kenyataan sama, empat hakim itu dikenakan sekatan di bawah Perintah Eksekutif 14203,langkah yang menyekat akses kepada sistem kewangan AS dan merumitkan mereka untuk urus niaga antarabangsa.
Bidang kuasa ICC kini diiktiraf oleh 123 negara tetapi AS, Russia, China, dan Israel tidak menganggotainya. – AGENSI