fbpx

Sudah 24 jam ‘Gemuk’ hilang dalam hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN bomba giat mengepam air dari dua buah kolam terbiar di Kampung Permatang Pasir yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan remaja OKU, Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15. Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO

MELAKA – Kehilangan seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran sejak 24 jam lalu di Kampung Permatang Pasir di sini terus menjadi tanda tanya apabila usaha mencari dan menyelamat (SAR) menemui jalan buntu.

Mangsa, Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, atau digelar keluarga sebagai Gemuk dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar sekitar pukul 6.30 petang semalam untuk menguruskan 13 ekor lembu milik bapa saudaranya.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Muktar berkata, setakat ini operasi SAR dilakukan tidak menemui sebarang petunjuk meskipun Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan ke lokasi sejak pagi tadi.

“Unit K9 juga belum menunjukkan hasil positif dan tidak menemukan klu jelas tentang keberadaan mangsa malah kesemua lembu yang dijaga remaja itu juga tidak hilang,” katanya kepada pemberita di lokasi hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata ibu mangsa telah membuat laporan polis malam semalam selepas anaknya tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya.

Menurut beliau, pusat kawalan operasi telah dibuka pagi ini untuk menyelaras gerakan SAR membabitkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta penduduk kampung.

“Sehingga kini, tiada kesan yang menunjukkan arah pergerakan mangsa dan telefon bimbit mangsa juga dipercayai telah dimatikan, sekali gus menyukarkan usaha pengesanan.

“Pencarian turut diperluas termasuk menyusuri sungai serta dua buah kolam terbiar yang dikhuatiri ada kaitan dengan kes ini,” ujarnya.

Katanya lagi, dua anjing pengesan dari Unit K9 JBPM juga dikerahkan ke lokasi pada sebelah petang bagi meneruskan pencarian di kawasan lebih terpencil.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Muhamad Aidil, anak kedua daripada enam beradik itu, dipercayai sesat di kawasan hutan selepas keluar mencari lembu yang didakwa hilang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI